Friday 27 January 2017

DOA JEMAAH HAJI MABRUR ; MALAYSIA DAPAT SEMULA KOUTA HAJI PENUH



KERAJAAN ARAB SAUDI MENGEMBALIKAN 27,900 KUOTA JEMAAH HAJI MALAYSIA

KUALA LUMPUR, Jumaat, 27 Januari 2017 : Kerajaan Arab Saudi telah mengembalikan semula kuota jemaah haji Malaysia kepada 27,900 orang untuk Musim Haji 1438H/2017M berbanding 22,230 orang sejak 2013. Perkara ini telah dimaklumkan oleh Tuan Yang Terutama Dr. Mohammad Saleh Bentan, Menteri Haji Dan Umrah, Arab Saudi semasa mesyuarat tahunan urusan haji yang turut dihadiri oleh YB. Dato’ Seri Jamil Khir Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Jeddah.

Pihak TH juga dimaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi hampir selesai melaksanakan projek pembangunan mega di sekitar Masjidil Haram sebagai usahanya memastikan jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia dapat menunaikan ibadat dengan lebih selesa dan selamat seiring dengan penambahan jumlah jemaah setiap tahun.

Bagi pihak Kerajaan Malaysia, YB. Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi di atas pengembalian semula kuota haji berkenaan yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam.

Mesyuarat tahunan persiapan dan peraturan berkaitan Urusan Haji 1438H/2017M antara Tuan Yang Terutama Dr. Mohammad Saleh Bentan, Menteri Haji Dan Umrah, Arab Saudi bersama YB. Dato’ Seri Jamil Khir Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah diadakan pada Rabu, 25 Januari 2017 di Jeddah.

Delegasi Kerajaan Malaysia turut disertai oleh Tuan Yang Terutama Dato’ Zainol Rahim Zainuddin, Duta Besar Malaysia Ke Arab Saudi, YB. Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH, YBhg. Dato’ Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH serta Pengurusan Kanan TH. Melalui mesyuarat tahunan di peringkat tertinggi ini, ia telah dapat memastikan operasi musim haji setiap tahun berjalan dengan lancar.

Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sentiasa duduk semeja bagi membincangkan soal pengurusan jemaah haji dan penambahbaikan setiap tahun. Antara perkara yang dibincangkan setiap tahun adalah peruntukan kuota tambahan bagi membantu memendekkan tempoh penggiliran haji.

Dalam ucapannya, Tuan Yang Terutama Dr. Mohammad Saleh Bentan telah memuji dan mengkagumi TH dalam pengurusan jemaah haji yang sistematik, tersusun serta memberi penekanan kepada pembelajaran mengenai ibadat haji melalui kursus-kursus haji kepada Jemaah Haji Malaysia. Beliau juga memuji Jemaah Haji Malaysia yang sentiasa menumpukan perhatian kepada ibadat haji dan berdisplin tinggi ketika di Tanah Suci.

Justeru itu, TH terus diiktiraf sebagai organisasi yang cemerlang dalam menyantuni Dhuyufurrahman dan beliau berharap negara-negara lain turut mencontohi pengurusan haji oleh TH.

TH sedang membuat persiapan bagi keperluan bakal jemaah dari segi penerbangan, penginapan, sajian dan pengangkutan serta khidmat perubatan di Tanah Suci untuk Musim Haji 1438H/2017M. TH juga akan bekerjasama dengan pihak Muassasah Asia Tenggara dan beberapa agensi di Arab Saudi untuk memastikan keperluan logistik dirancang dengan baik bagi memastikan kebajikan Jemaah Haji Malaysia semasa berada di kota suci Makkah dan Madinah.

Kos menunaikan haji Musim Haji 1438H/2017M telah meningkat kepada RM19,550 seorang berbanding RM18,890 tahun lalu. Walaupun kos meningkat setiap tahun, TH masih dapat mengekalkan bayaran haji sebanyak RM9,980 seorang Jemaah Haji Muasassah kali pertama sejak tahun 2009. Subsidi Haji yang ditanggung TH dijangkakan berjumlah RM200 juta bagi musim haji pada tahun ini.

ADC :
Apalah nasib pendeposit yang ikut dengar hasutan rafizi ramli kononya kewangan TH bankrap.


No comments:

Post a Comment

TER-POPULAR PILIHAN PEMBACA